Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat
dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan ahli
keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW, serta golongan yang mengikuti
jejak langkah baginda SAW.
Pengertian bagi haji:
Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi
ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi
Baitullah (Ka'bah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta
melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji.
(Rujuk al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah, 17 / 23)
Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan
menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang
berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya
sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat.
Antara dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah tentang
kewajipan mengerjakan ibadah haji adalah seperti firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ
اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat
Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali-Imran: 97)
Istito’ah (berkemampuan) yang dimaksudkan pada firman
Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang
dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak
perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah
membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya.
(Rujuk Al-Muhalla,
Ibn Hazm 7/54 dan Subul al-Salam, Al-Son’aani 2/180)
Imam Ibnu Kathir Rahimahullah berkata:" Adapun
istato'ah (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia
mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain" (Rujuk Tafsir
al-Quran al-Azim, 1/364)
Allah SWT
berfirman:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ
Maksudnya: “Dan
serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji”
(Surah al-Hajj: 27)
Firman
Allah SWT:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ
فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah
beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan
dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri
isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa
mengerjakan ibadat Haji.”
(Surah al-Baqarah: 197)
Pengertian umrah:
Umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi
istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan
saie di antara safa dan marwah dengan ihram.
(Rujuk Al-Mausu'ah
al-Fiqhiyyah, 30/314)
Sebagian ulama berpendapat bahawa hukum
melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan
sementara dia mampu untuk melaksanakannya.
Firman
Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah
kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Inilah pendapat yang sahih dari mazhab Imam
Al-Syafie, namun sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang
mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu'akkad pada umrah yang
pertama.
(Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 30/ 315).
Dapat kami ringkaskan di sini perbezaan di antara
ibadah haji dan umrah adalah seperti berikut:
- Haji hanya dikerjakan pada bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Manakala waktu umrah pula adalah pada bila-bila masa sepanjang tahun
- Haji adalah wajib bagi setiap individu, manakala umrah pula adalah sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat).
- Haji memerlukan wukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah manakala umrah tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi.
- Rukun haji ada lima iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie dan tahallul, manakala umrah hanya empat iaitu ihram, tawaf, sa’i dan tahallul.
PENUTUP
Semoga dengan sedikit penjelasan dari kami
berkenaan haji dan umrah dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada
pembaca serta bakal-bakal jemaah haji yang akan mengerjakan ibadah haji. Kami
berharap supaya setiap amalan kita diterima oleh Allah SWT dan kami turut
mendoakan bakal jemaah haji selamat mengerjakan ibadah haji dan dikurniakan
haji yang mabrur.
Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah
sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan
merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar
akhirat. Kami berharap agar kita juga termasuk dalam golongan tersebut.
Kami akhiri Bayan Li Al-Haaj kali ini dengan
sepotong doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا
مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur,
usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”
Sumber: muftiwp
0 Comments