MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Lembaga Zakat Selangor Sediakan Medium GoPayz Memudahkan Pembayaran Zakat



Lembaga Zakat Selangor (LZS) berhasrat menarik 1.2 juta pelanggan U Mobile beragama Islam di Selangor untuk membayar zakat menggunakan GoPayz, e-dompet universal U Mobile.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS Saipolyazan Mat Yusop berkata kerjasama dengan U Mobile bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor membayar zakat melalui platform digital, sejajar dengan hasrat untuk mendorong pembayaran zakat tanpa tunai di negeri ini.

Beliau berkata pembayaran zakat menerusi platform digital telah meningkat sehingga 47 peratus, dan berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai orang Islam membayar zakat bagi menyokong peningkatan bilangan asnaf di Selangor.

Katanya bilangan asnaf mungkin meningkat kepada 60,000 tahun ini dan 70,000 pada tahun depan daripada 50,000 pada 2018.

LZS berharap platform baharu ini juga akan membantu mereka untuk menghulur bantuan kepada lebih ramai pendatang beragama Islam dalam negara ini.

Beliau berkata LZS sedang mencari cara untuk mendekati masyarakat Islam dari Indonesia, Kemboja, Pakistan dan Bangladesh, antara lainnya.

GoPayz ialah e-dompet Malaysia pertama menawarkan platform menunaikan zakat kepada LZS.

Sementara itu, CEO kumpulan U Mobile Wong Heang Tuck berkata terdapat 15,000 pengguna GoPayz pada masa ini, dan syarikat itu menyasarkan komuniti Islam dapat menjadikan sekurang-kurangnya 70 peratus pelanggan GoPayz dalam masa terdekat.

Orang Islam boleh membuat bayaran zakat pendapatan, perniagaan, simpanan, ekuiti, emas, perak, harta, zakat fitrah kepada LZS dengan mudah menerusi applikasi GoPayz atau laman sesawang.

Wong berkata platform zakat adalah perkhidmatan Islam pertama oleh GoPayz, dan lebih banyak perkhidmatan akan dilancarkan pada masa depan.

"GoPayz komited untuk meluaskan perkhidmatan digital bagi membawa kemudahan dan akses tanpa had kepada semua pelanggannya.

"Ini hanya fasa pertama dan kami makan memperkenal lebih banyak perkhidmatan Islam yang akan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Sumber: Bernama

Post a Comment

0 Comments