Kepentingan Skor
Kredit Untuk Urusan Kewangan Anda
Secara
amnya, skor kredit berfungsi sebagai petunjuk mengenai keupayaan anda untuk
membayar balik pinjaman kepada institusi kewangan. Ia menilai sejarah kewangan
anda supaya institusi kewangan boleh menentukan jika mereka ingin berurusan
dengan anda. Jika anda menyediakan resume untuk memohon pekerjaan, begitu
jugalah apabila anda ingin memohon pinjaman. Anda juga perlu menjalani
pemeriksaan kesihatan kewangan yang lengkap.
Skor
kredit yang baik akan memberi anda pelbagai pilihan pembiayaan kerana lebih
banyak bank yang ingin berurusan dengan anda. Selain itu, bank-bank ini juga
mungkin menawarkan pelan pembayaran balik yang lebih baik. Skor kredit yang
kurang memuaskan mungkin boleh menyebabkan bank enggan memberikan pinjaman kepada
anda.
Anda
mungkin tidak menyedarinya, tetapi skor kredit anda telah mempengaruhi
kehidupan anda, terutamanya keputusan kewangan anda – lebih daripada apa yang
anda fikirkan.
Bagaimanakah skor
kredit ini berfungsi?
Skor
kredit memberikan anda penarafan berdasarkan bilangan pinjaman dan kad kredit
yang anda telah ambil, serta konsistensi dalam pembayaran balik pinjaman.
Selain
memberikan skor anda, laporan ini juga memberi analisis mendalam mengenai semua
hutang dan tabiat pembayaran balik anda. Oleh itu, anda boleh menilai tabiat
pembayaran balik pinjaman anda sendiri, dan juga menyemak jika anda terlepas
apa-apa bayaran penting yang akan memberi kesan dan menjejaskan skor anda. Laporan
anda juga akan memberitahu anda jika terdapat sebarang tuntutan undang-undang
aktif yang diambil terhadap anda.
Jika
anda beranggapan bahawa tiada sesiapa akan mengetahui bahawa anda gagal membuat
bayaran bulanan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebaliknya
menggunakan wang tersebut untuk menikmati percutian hujung minggu – anda salah.
Sejarah
kredit anda disimpan dan dijejak oleh pangkalan data dimiliki Bank Negara
Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Dari sini, agensi pelaporan kredit seperti RAM Credit Information Sdn Bhd
(RAMCI), CTOS, dan Biro Kredit Malaysia dibenarkan mengakses maklumat ini,
justeru dapat menjana skor kredit anda.
Apakah
yang akan menjejaskan skor kredit saya?
Skor
kredit mengambil kira aspek pinjaman seperti pinjaman pendidikan sebagai
contoh, PTPTN, pinjaman kenderaan, kad kredit, ansuran bulanan sewa beli, pinjaman
perumahan dan sebagainya.
Agensi
penarafan kredit mempertimbangkan banyak perkara, seperti sejarah pembayaran
kredit individu, campuran kredit dan jumlah pinjaman yang terhutang, tempoh
sejarah kredit, permohonan kredit baharu dalam tempoh 12 bulan yang lepas, dan
rekod prestasi undang-undang.
Secara
ringkas, selagi anda mengutamakan pembayaran balik bulanan anda pada setiap
bulan, anda akan mempunyai skor yang lebih tinggi. Ini bermakna sebaik sahaja
anda mendapat gaji, anda akan terus membayar pinjaman pendidikan, pinjaman
kenderaan, hutang kad kredit, dan hutang lain anda kepada institusi pemberi pinjaman.
Bagaimana jika saya
abaikan skor kredit?
Seperti
yang telah dinyatakan sebelum ini, skor kredit anda mempengaruhi kehidupan anda
dalam pelbagai cara, sama ada anda menyedarinya atau tidak. Sekiranya anda
tidak menjaga kesihatan kewangan anda, ia akan mendatangkan banyak masalah kepada
anda pada masa akan datang. Sebagai contoh, ia mungkin menjejaskan peluang
untuk memiliki rumah impian anda kerana permohonan anda untuk pembiayaan rumah
mungkin akan ditolak.
Ini
juga boleh menjejaskan hubungan anda dengan pasangan anda kerana masalah
tersebut mungkin disebabkan oleh salah seorang daripada anda.
Jika
anda mempunyai skor kredit yang kurang memuaskan, ia juga mungkin menjejaskan
prospek pekerjaan anda. Pada amnya, majikan tidak menyemak skor kredit bakal pekerja
mereka. Namun demikian, jika pekerjaan tersebut berkait rapat dengan bidang
kewangan, atau jika majikan ingin memberi anda tanggungjawab berkaitan
hal-ehwal kewangan, skor kredit anda akan mendedahkan sikap anda terhadap
pengurusan kewangan dan mempengaruhi keputusan bakal majikan untuk mengambil
anda bekerja.
Sumber:
www.imoney.my
0 Comments