MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Keganasan Terhadap Wanita & Langkah Membanterasnya



Keganasan terhadap wanita adalah perbuatan penganiayaan terhadap wanita dan  kanak-kanak perempuan  dalam  pelbagai  cara.  Ianya  meliputi  semua  bangsa,  agama,   pendapatan,   kelas   dan   budaya.   Ianya   juga   merupakan   suatu   bentuk   penyalahgunaan  kuasa  yang  sering  berlaku  apabila seorang  pasangan  cuba  untuk  mengawal atau mendominasi pasangannya. Perangkaan menunjukkan bahawa kes-kes keganasan terhadap wanita seperti rogol, gangguan seksual, keganasan rumah tangga,  ragut  dan  lain-lain  semakin  membimbangkan  pada  masa  ini  kerana ianya bukan  hanya  mengakibatkan  kecederaan  fizikal  dan  mental  kepada  mangsa  tetapi  juga boleh mengakibatkan kematian. 

Keganasan   terhadap   wanita   boleh   diertikan   sebagai   apa-apa   tindakan   keganasan  yang  berdasarkan  gender  yang  mengakibatkan  atau  kelihatan  boleh  mengakibatkan   kecedaraan   fizikal,   seks   atau   psikologi   atau   mengakibatkan   penderitaan  kepada  wanita.  Tindakan  ini  juga  meliputi  ugutan  untuk  melakukan  perkara tersebut, paksaan atau perbuatan menyekat kebebasan, sama ada berlaku dalam kehidupan persendirian atau awam (Cronwell & Burgess, 1996). 

Tindakan-tindakan   keganasan   yang   lain   terhadap   wanita   juga   termasuk   pelanggaran  hak-hak  kemanusiaan  wanita  terutamanya  pembunuhan,  perogolan  terancang,  perhambaan  seks  dan  penghamilan  tanpa  kerelaan.  Tindakan  tersebut  juga   merangkumi   keganasan   bagi   tujuan   politik   (terrorism),   pemandulan   dan   keguguran  tanpa  rela,  paksaan  dalam  menggunakan  alat-alat atau  ubat  mencegah  kehamilan  dan  pembunuhan  fetus  atau  kanak-kanak  perempuan.  Panggilan  telefon  luncah  dan  berunsur  ugutan  juga  dicadangkan  sebagai  dari  gangguan  terhadap  wanita   yang   boleh   membawa   kepada   penderaan   psikologi,   terutamanya   jika   panggilan itu dibuat oleh bekas suami atau kekasih (Bradby, 1998).


Keganasan terhadap wanita boleh memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain terutamanya kanak-kanak. Mereka akan mengalami masalah kelakuan, emosi dan persekolahan.

Jika ahli keluarga itu dalam lingkungan umur remaja, mereka cenderung untuk menyalahgunakan dadah, terlibat dalam ketagihan rokok dan alkohol serta melakukan seks bebas.

Diantara bentuk keganasan terhadap Wanita adalah:

  1. Keganasan rumahtangga seperti penderaan fizikal, emosi & seksual 
  2. Keganasan seksual termasuk penderaan psikologi 
  3. Pembunuhan atas nama kehormatan keluarga 
  4. Mencacatkan fizikal (mangsa asid) 
  5. Perkahwinan dibawah umur secara paksaan 
  6. Pemerdagangan manusia
Langkah Membanteras Keganasan Terhadap Wanita
Tanggungjawab membanteras   keganasan   terhadap   wanita  bukan  hanya  terletak  di  bahu kerajaan  semata-mata.  Sebaliknya  ia  merupakan tanggungjawab bersama yang  harus  dipikul  oleh  semua  pihak  iaitu  kerajaan,  NGO,  swasta  dan masyarakat.  Ia  juga  memerlukan penggemblengan  tenaga  antara  kaum  lelaki  dan  wanita. Ini bermakna kejayaan dasar dan program bagi menangani jenayah tersebut bergantung  kepada  kerjasama  padu  dan  komitmen  semua  pihak  yang  terlibat.  Pendekatan  yang  diambil  juga  haruslah  merupakan  pendekatan  yang  holistik, meliputi aspek pencegahan, intervensi dan pemulihan.

Usaha  bersepadu  perlu  diambil  bagi  meningkatkan  kesedaran  masyarakat  khususnya   wanita   terhadap   tanggungjawab   dalam   menangani   isu   kegansan   terhadap  wanita.  Program  kesedaran  dan  latihan  berkaitan  keganasan  terhadap wanita  hendaklah  melibatkan  setiap  lapisan  masyarakat  termasuk  kaum  lelaki.  Perkhidmatan  sokongan sosial  perlu  ditingkatkan  terutama aspek  pencegahan,  pelindungan dan pemulihan.

Peningkatan  kes  penderaan  terhadap  wanita  terus  berlaku  dari  tahun  ke  tahun haruslah diberi perhatian yang serius oleh semua pihak. Kita tidak boleh leka meskipun  jika  dibandingkan  dengan  negara-negara  luar,  kadar  keganasan  yang  dilaporkan di Malaysia adalah masih di tahap terkawal.


Sumber: KPWKM & JPA

Post a Comment

0 Comments