MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Hukum Menggunakan Perkakas Digunakan Untuk Memasak Daging Khinzir


Apakah hukum kita guna bekas makanan yang telah digunakan oleh non muslim untuk makan benda haram seperti babi dan arak?

JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Hukumnya cukup kita basuh sahaja perkakas itu dengan air berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Tha`labah al-Khusyani yang bertanya kepada Baginda SAW:
إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمُ الْخِنْزِيرَ وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمُ الْخَمْرَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا»
Maksudnya: “Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selainnya maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.”

Riwayat Imam Abi Daud dalam Sunan-nya (3839)

Asal hukum perkakas itu ialah suci dan arahan membasuh yang terkandung dalam hadis di atas ialah sunat, kerana orang bukan Islam tidak menghindarkan diri mereka daripada bahan-bahan bernajis.
Rujuk al-Mu’tamad (1/50-51)
Namun apabila jika jelas dan nampak adanya kegunaan bagi najis berat seperti khinzir, maka hendaklah dibasuh tujuh kali dengan air mutlak serta salah satunya daripada basuhan air bercampur tanah.
Dalilnya ialah:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Penyucian bekas salah seorang daripada kalian apabila dijilat anjing dengan membasuh tujuh kali, yang pertamanya dengan tanah (dalam riwayat lain: salah satunya dengan tanah).
Riwayat Imam Muslim (279)
Wallahua’lam.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Post a Comment

0 Comments