Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan
murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghazali bertanya.
(1) “Apa
yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya
ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Al Ghazali
menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita
adalah “mati”. Kerana mati itu janji Allah SWT. Janji Allah Ta’ala bahawa
setiap yang bernyawa pasti akan mati.
“Tiap-tiap
yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah
akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka
dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat
kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
(Surah
Ali Imran: 185)
(2) “Apa
yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya
ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang.
Lalu Imam Al Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan
adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita,
apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan kembali ke masa lalu. Oleh sebab
itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan
yang sesuai dengan ajaran Islam
(3) “Apa
yang paling besar di dunia ini?”
Murid-muridnya
ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam
Al Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”.
Nafsu
yang menguasai diri menyebabkan manusia gagal menggunakan akal, mata, telinga
dan hati yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala untuk hidup berlandaskan kebenaran.
“Dan
sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia
yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan
Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya
(ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih
sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah
Al-A’araaf: 179)
(4) “Apa
yang paling berat di dunia ini?”
Ada yang
menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Al
Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah.”
“Sesungguhnya
Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang
tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk
memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya)
sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah
suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut
dikerjakan.”
( Surah
Al-Ahzaab: 72 )
Tumbuh-tumbuhan,
binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka
untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan
sombongnya sanggup terima permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia
dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak mampu memegang amanahnya.
(5) “Apa
yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang
menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Al Ghazali,
tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Ramai dalam
kalangan kita, kerana kerja, kerana urusan dunia, kerana hiburan, kita
tinggalkan solat. Sedangkan tuntutan solat itu yang lebih utama.
(6) “Apakah
yang paling tajam di dunia ini?”.
Murid-muridnya
menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling
tajam adalah “lidah manusia”. Kerana, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah
menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Kredit : Ustaz
Mohamad Sallehudin bin Md Derus
0 Comments