MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Surah Amalan Untuk Ibu Mengandung


Terdapat banyak penyelidikan mengenai kesan suara seorang ibu kepada anak yang dikandung dalam rahim. Apabila seorang ibu membaca dengan kuat, suaranya mempunyai kesan menenangkan pada bayi yang belum lahir atau bayi yang baru lahir. Kajian juga turut mendapati, hal ini turut menurunkan kadar jantung bayi.

Intonasi dalam suara telah dibuktikan dapat membentuk pembelajaran auditori bagi bayi walaupun masih dalam rahim. Menjadi keutamaan bagi bayi untuk kenal suara ibu mereka. Malah, suara bukan setakat mempengaruhi pembangunan sistem pendengaran bayi, lebih menarik lagi, ia juga memberi kesan kepada perkembangan sosial dan emosi mereka.

Satu penyelidikan dijalankan di Eropah pada 2013 menunjukkan bahawa mendedahkan bayi dalam kandungan kepada muzik mempunyai kesan jangka panjang pada otak mereka. Mereka mendapati bahawa bayi yang baru lahir dapat mengingati versi ‘Twinkle, Twinkle Little Star’ yang dimainkan untuk mereka sewaktu di dalam rahim dan memberi respons berbeza apabila versi alternatif dimainkan. Menurut kajian juga, bayi menyimpan memori-memori sewaktu dalam kandungan sehingga 4 bulan selepas kelahiran.

Kajian barat telah menunjukkan bahawa muzik klasik yang dipasang kepada bayi dalam kandungan, dapat memberi kesan kepada perkembangan sosial, emosi dan system pendengaran mereka. Sebagai Muslim, ibu-ibu boleh menggantikan muzik klasik ini dengan alunan-alunan ayat suci al-Quran.

Adalah lebih baik, jika ibu itu sendiri yang dapat membaca ayat al-Quran untuk diperdengarkan kepada bayi di dalam rahim. Ini kerana, bayi amat kenal dengan suara ibu mereka.

Walaupun tiada dalil dalam Islam yang menyuruh ibu hamil mengamalkan mana-mana surah dalam al-Quran, tetapi tidak salah sekiranya ibu hamil membaca surah-surah dalam al-Quran dengan harapan agar Allah swt mengurniakan kesihatan, kebaikan, kemudahan serta rahmat Allah buat ibu dan anak yang dikandungnya.

Sebagaimana janji Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” 

(Surah Al-Isra, ayat 82)

Antara Surah-surah dalam al-Quran yang boleh diamalkan oleh ibu/wanita mengandung adalah:

1) Surah al-Fatihah

Surah Al-Fatihah merupakan Umul Kitab, maksudnya pembukaan sesuai dengan namanya surah pertama di dalam Al-Quran. Diantara fadhilat surah Al-Fatihah adalah menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan.

 2) Surah Maryam

Dinamakan surah Maryam sempena menceritakan kisah Maryam r.a ibu kepada Nabi Isa a.s kisah yang hebat, secara logik adalah mustahil tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya.

Surah ini sesuai diamalkan untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.

 3) Surah Luqman

Surah Luqman mengisahkan tentang nasihat-nasihat seorang bapa kepada anaknya Luqman Al-Hakim. Diantara fadhilat surah ini adalah untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.

4) Surah Yusuf

Surah Yusuf menceritakan kehidupan Nabi Yusuf a.s. yang terkenal dengan ketampanan wajahnya sehinggakan ramai wanita menyukainya. Diantara fadhilat surah ini memperoleh anak tampan bagi lelaki dan cantik bagi perempuan tetapi juga indah akhlak seperti Nabi Yusuf as.

5) Surah Yaasin

Diantara fadhilat membaca Surah Yaasin agar dipermudahkan urusan dan diberi ketenangan hati. Bagi ibu yang mengandung agar diberikan ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan kearah maksiat.

 6) Surah at-Taubah

Diantara fadhilat surah ini, agar seseorang itu sentiasa mengingati Allah swt dan sentiasa bertaubat kepadaNya. Bagi ibu mengandung memberi kesan kepada bayi dalam kandungan dapat membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.

 7) Surah an-Nahl

Surah ini berkaitan haiwan bernama Lebah  yang mana sifat haiwan ini rajin dan berdisplin dalam membuat sarang bagi menghasilkan madu. Bagi ibu mengandung fadhilatnya melahirkan anak yang berdisiplin. Malah, ayat 78 Surah an-Nahl sangat elok diamalkan ketika hendak bersalin agar proses kelahiran bayi sentiasa dipermudahkan.

Kesimpulan

Surah-surah Al-Quran di atas sekiranya dibaca dan diamalkan semasa mengandung Insya-Allah dipermudahkan segala urusan berkaitan proses mengandung sehinggalah melahirkan.

Adalah sangat beruntung bagi mereka samada dalam keadaan tidak mengandung atau dalam keadaan mengandung membaca Al-Quran setiap masa, kerana setiap pembacaan Al-Quran mendapat pahala dan ada hikmahnya dari segi kesihatan,  akhlak dan kasih sayang Allah swt.

Kesan pembacaan Al-Quran kepada bayi di dalam kandungan, Insya -Allah menjadi bayi yang cukup sifat,  bijak,  pandai dan menjadi anak yang soleh dan soleha. 

Sumber : Internet  dan Bidadari.my 

Post a Comment

0 Comments