Apa itu dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)?
WKB2030 ialah dokumen yang menggariskan matlamat sepuluh tahun untuk
penstrukturan semula ekonomi ekonomi kemahiran rendah Malaysia kepada
ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan rakyat menikmati standard
kehidupan yang baik.
Berikut takrifan rasmi WKB2030: "Wawasan
Kemakmuran Bersama 2030 adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan
pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat
kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.
"Iltizam ini akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan
meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu
tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai
asas penyatuan negara bangsa."
Adakah ia satu rancangan yang spesifik?
Seperi
dasar ekonomi sebelum ini seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), WKB2030
ialah dokumen dasar kerajaan, bukan panduan kaedahnya. Ia akan menjadi
panduan untuk kerajaan merangka dasar ekonomi untuk sepuluh tahun akan
datang.
Kementerian dan jabatan kerajaan perlu merangka dan
melaksana perancangan untuk mencapai sasaran itu. Strategi pelaksanaan
mungkin akan digariskan dalam Rancangan Malaysia akan datang.
Apa justifikasi WKB2030?
Pertumbuhan
ekonomi Malaysia ketinggalan berbanding Asia Timur kerana
kebergantungan terhadap komoditi eksport yang harganya tidak stabil.
Tidak seperti ekonomi Asia Timur, penggunaan teknologi tinggi di
Malaysia masih rendah.
Kerajaan juga berdepan jurang pendapatan yang semakin melebar antara majikan dengan pekerja, kelas, wilayah dan kaum.
Penyertaan
bumiputera masih tidak memadai dalam sektor profesional, perusahaan
kecil dan sederhana dan sumbangan pendapatan langsung dalam Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK). Sumbangan bumiputera kepada KDNK, jika tidak
mengambil kira syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dilaporkan pada kadar
28 peratus pada 2014.
Apakah prinsip di sebalik WKB2030?
Sementara
DEB menumpukan untuk merapatkan jurang kekayaan dan peluang sama rata,
prinsip di belakang WKB2030 ialah pertumbuhan ekonomi melalui
"kesaksamaan keberhasilan".
Menurut dokumen itu, DEB ialah dasar
afirmatif yang menambahkan kekayaan sejumlah bumiputera tetapi tidak
mencapai matlamat asalnya.
"Ketirisan dalam pelaksanaan dasar
(DEB), penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan cabaran utama dalam
mencapai kesaksamaan keberhasilan dalam agenda bumiptera.
"Sehubungan
itu, pendekatan dasar, intervensi dan program yang lebih komprehensif
dalam mencapai kesaksamaan keberhasilan adalah penting bagi mencapai
matlamat WKB kepada semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan
rantaian bekalan," kata dokumen itu.
Bagaimanapun kesaksamaan keberhasilan hanyalah satu daripada 15 prinsip panduan WKB2030.
Sebesar mana jurang pendapatan antara kaum?
Dari
segi pendapatan penengah isi rumah, nisbah antara bumiputera dengan
kaum Cina ialaih 0.74:1. Nisbah antara India dengan Cina pula ialah
0.81:1.
WKB2030 ingin mengurangkan jurang tersebut kepada hampir setara (0.9:1:1).
Apakah pelan strategi WKB2030?
Ada
tujuh teras strategik dan sejumlah cadangan bagaimana ia dapat
dilaksana. Dokumen itu juga menggariskan lapan (8) "pemboleh daya" berkenaan
cara kerajaan boleh berperanan untuk mencapai strategi itu.
- Kemampanan Fiskal - Pengurusan Kewangan Kerajaan yang mampan bagi mengukuhkan keyakinan pelabur dan pasaran.
- Modal Kewangan - Pengembangan perniagaan melalui pembiayaan holistik dan mesra PKS.
- Keberkesanan Penyampaian Institusi - Penambahbaikan pelaksanaan inisiatif dan program berteraskan keberhasilan.
- Tadbir Urus dan Integriti - Pengukuhan tadbir urus melalui ketelusan dan akauntabiliti bagi meningkatkan kepercayaan rakyat.
- Pendidikan & TVET - Peningkatan tenaga kerja berkemahiran dan berpendidikan tinggi, masyarakat peribelajar dan pendidikan berasaskan keberhasilan.
- Data Raya - Penggubalan dasar berpandukan data dan fakta empirikal di bawah satu sistem data yang bersepadu dan berintegrasi.
- Kelestarian - Pembangunan Negara yang mesra alam dan menekankan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan sumber asli.
- Masyarakat Berpencerahan - Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat melalui pembelajaran berterusan, wacana intelektual, dialog dan kesedaran bagi meningkatkan pengetahuan, perkongsian pengalaman dan empati.
Adakah dokumen itu khusus untuk bumiputera?
Bab sembilan khusus untuk "keberhasilan bumiputera".
"Keberhasilan
bumiputera perlu diberi keutamaan serta diterapkan secara sistematik
dalam setiap teras strategik dan pemboleh ubah untuk mencapai matlamat
WKB.
"Golongan bumiputera perlu mengambil inisiatif untuk
melakukan perubahan minda dan sikap yang drastik dengan menunjukkan
iltizam yang kuat bagi meningkatkan produktiviti bumiputera," kata
dokumen itu.
Dalam aspek hala tuju, matlamat WKB2030 adalah untuk
kerajaan merangka dasar bagi menangani amalan diskriminasi terhadap
pekerja bumiputera dalam sektor swasta dan perniagaan bumiputera.
Matlamat
lain termasuk memecahkam monopoli, menggalakkan pemilikan hartanah di
kawasan bandar dan pembangunan ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan,
Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Adakah ia menetapkan lebih banyak tindakan afirmatif?
Tidak. Istilah "tindakan afirmatif" hanya disebut dua kali dalam dokumen itu, dan dengan nada negatif.
Bagaimanapun,
salah satu prinsip panduan WKB2030 ialah "pendekatan ekonomi
keperluan", yang mengutamakan perangkaan dasar berasaskan target
demografik yang khusus.
Secara spesifik, pendekatan ini memerlukan penakrifan semula "kemiskinan".
Siapa yang merangka dokumen WKB2030?
Ia dirangkan Kementerian Hal Ehwal ekonomi dan Institut Masa Depan Negara, dan dibentang di kabinet pada 15 September 2019.
Sumber: Malaysiakini
0 Comments