Pendapatan penyerang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi lebih tinggi berbanding diraih juara tinju dunia, Floyd Mayweather sepanjang tahun lalu menurut majalah perniagaan Forbes awal pagi tadi.
Messi yang menjaringkan 36 gol ketika membantu Barcelona menjulang La Liga tahun ini, meraih pendapatan AS$127 juta (RM528.7 juta) membabitkan gaji dan penajaan untuk melonjak ke tangga teratas senarai 100 atlet dengan bayaran tertinggi.
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo meraih AS$109 juta atau RM453.7 juta disusuli penyerang Paris Saint-Germain, Neymar (AS$105 juta atau RM437.1 juta), petinju Mexico Canelo Alvarez (AS$94 juta atau RM391.3 juta) dan bintang tenis Switzerland, Roger Federer (AS$93.4 juta atau RM388.8 juta) melengkapkan senarai kelompok lima teratas.
Mayweather yang mendahului senarai pada 2018 dan empat kali mendahului dalam tempoh tujuh tahun, hanya mempunyai satu perlawanan pertunjukan di Jepun Disember tahun lalu dan tidak berada dalam senarai 100 teratas, yang membabitkan atlet daripada 10 sukan berbeza.
Pemain Persatuan Bolakeranjang Nasional (NBA) mendominasi kelompok atlet dengan 35 daripada mereka menduduki senarai 100 terbaik , namun tidak setinggi pendapatan diraih penyerang Los Angeles Lakers, LeBron James yang menduduki tangga kelapan dengan pendapatan keseluruhan AS$89 juta (RM370.6 juta).
Pemain American football di tangga kedua dengan 19 pemain diikuti besbol 15 pemain dan bola sepak, 12.
Menurut Forbes, atlet dengan bayaran tertinggi dalam senarai itu secara keseluruhannya meraih pendapatan berjumlah AS$4 bilion (RM16.6 bilion) dalam tempoh 12 bulan terakhir naik lima peratus berbanding tahun lalu AS$3.8 bilion (RM15.8 bilion).
Sumber : - Reuters
0 Comments