MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

OPR dijangka kekal 3.0 peratus bagi 2019

MIDF Research menjangkakan tidak ada lagi perubahan pada kadar dasar semalaman (OPR) untuk baki sepanjang tahun ini dengan jangkaan tekanan lebih rendah daripada bahagian domestik dan luar negara.
Katanya, selagi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal pada kadar lebih empat peratus dan teras indeks harga pengguna (CPI) kekal positif, tidak ada lagi perubahan dalam pendirian monetari dijangkakan atau diperlukan pada peringkat ini.
“Tambahan pula, semalam Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pendirian mereka untuk mengekalkan kadar dana sedia ada sehingga akhir 2019," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MIDF Research berkata, langkah diambil oleh Bank Negara Malaysia hari ini untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus akan mendorong peningkatan pelaburan dan aktiviti penggunaan domestik pada 2019, terutamanya pada separuh kedua tahun ini.
Sehubungan itu, ia mengekalkan anggarannya bagi pertumbuhan KDNK 2019 pada 4.9 peratus, berikutan aktiviti ekonomi kekal kukuh, berdasarkan kadar pengangguran ketika ini yang mencerminkan pekerjaan penuh, indeks pengeluaran perindustrian (IPI) stabil dan prestasi perdagangan secara menyeluruh.
MIDF berkata, prestasi perdagangan luar semakin pulih berikutan eksport dan import pada Mac mencatatkan peningkatan kukuh masing-masing pada 26.2 peratus dan 25.4 peratus.
Firma penyelidikan itu berkata, ia menjangkakan eksport akan meningkat semula pada suku kedua (Q2) 2019 selepas merosot 0.9 peratus pada Q1.
“Berhubung peristiwa akan datang, termasuk perjanjian perdagangan AS dan China , prestasi ekonomi stabil yang dicatatkan kedua-dua ekonomi terbesar itu, selain pembelian minyak sawit dimasukkan dalam perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dijangka akan menyokong prestasi eksport Malaysia,” katanya.
Oleh itu, MIDF Research mengunjurkan eksport dan import masing-masing akan meningkat sebanyak 3.6 peratus dan 3.0 peratus pada 2019, dengan melihat kepada petunjuk positif daripada prestasi perdagangan dengan rakan kongsi serantau pada April.
Teras inflasi dijangka pada purata 1.1 peratus tahun ini berikutan had harga minyak mentah RON95 domestik ditetapkan pada RM2.08 seliter.
"Lagipun, kami percaya kerajaan tidak mungkin menghapuskan had itu dalam masa terdekat kerana mekanisme subsidi yang betul hanya terhad kepada penerima Bantuan Sara Hidup masih belum berkuat kuasa," katanya.
MIDF Research juga menjangkakan tekanan inflasi, sebahagian besarnya daripada bahan berkaitan bahan api, akan kekal lemah walaupun dijangkakan harga minyak mentah Brent akan mencecah AS$75 setong pada tahun ini berbanding AS$72 setong pada 2018.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan komponen makanan memberi tekanan tambahan untuk keseluruhan inflasi pada 2019, dipacu oleh kesan asas rendah, kesan limpahan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan, dan inflasi import kerana Malaysia adalah pengimport bersih makanan.
"Secara keseluruhannya, kadar inflasi teras dijangka kekal stabil tahun ini, berlegar sekitar kadar 2018 iaitu 1.0 peratus tahun ke tahun," katanya.
Sumber: Bernama 

Post a Comment

0 Comments