MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

OhFreeFood




Laporan statistik yang menunjukkan 270,000 tan sisa makanan terbuang sepanjang 30 hari Ramadan setiap tahun, atau 9,000 tan sehari, mencetuskan idea kepada seorang pemuda dari Segamat, Johor untuk memperkenalkan aplikasi telefon pintar dikenali sebagai OhFreeFood dengan slogan 'get any food for free'.

Dilancarkan pada 31 Jan 2019, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play dan Apps Store itu mula mendapat sambutan hangat sejak hari pertama umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada 6 Mei 2019.

Irwan Hisham, berumur 37 tahun pemilik kepada aplikasi tersebut berkata idea tercetus ketika beliau menjadi aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan apabila sering melihat masih ada warga kota yang tidak mampu untuk membeli makanan walaupun sebuku roti.

Idea untuk buat aplikasi ini hadir seiring dengan rasa simpati terhadap golongan tersebut, aplikasi ini jadi platform untuk orang ramai menyumbangkan lebihan makanan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Irwan Hisham OhFreeFood tidak akan menjadi kenyataan sekiranya beliau tidak bertemu dengan seorang lelaki yang ketika itu secara tidak sengaja menjadi pelanggan GrabCar beliau.

Ketika berada dalam kereta bersama Ir Kho Lip Khiong, Irwan bercerita mengenai idea ingin buat aplikasi itu. Beliau kelihatan berminat dan kemudian menyuruh saya berjumpa dengan rakannya, Ir Lim Sin Poh.

Siapa sangka saya dipertemukan dengan insan yang membantu merealisasikan impian untuk bina aplikasi ini. Bermula dari situ, kami kini bekerjasama membangunkan OhFreeFood yang sehingga kini mencecah 11,000 pengguna dan kos terlibat adalah melebihi RM200,000.

Teknologi di hujung jari ini semakin memudahkan kita, muat turun aplikasi ini dan isikan segala maklumat diperlukan seperti nama dan lokasi anda. Anda boleh menentukan lokasi dan masa untuk bertemu mereka yang mahu mengambil makanan yang ingin disumbangkan.

Aplikasi ini turut mendapat sokongan daripada Universiti Islam Antarabangsa yang menjadi Sahabat OhFreeFood, Kelab BenAshaari (rakan media) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Irwan yang juga penulis lagu berkata aplikasi itu harus dimuat turun setiap pemilik telefon pintar bagi memudahkan mereka menyumbang makanan, termasuk barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung dan susu.

Ada pengguna dari Langkawi memuat naik foto pokok mangga yang lebat berbuah kerana beliau ingin memberi buah itu secara percuma, siapa sangka aplikasi ini amat membantu kerana ada yang datang mengambil mangga beliau daripada terbiar begitu sahaja.

Dengan adanya aplikasi itu, ia juga membantu merapatkan silaturahim apabila pengguna dapat mengenali kenalan baharu memandangkan terdapat antara kita yang tidak mengenali jiran sendiri.

Sumber:  Bernama

Post a Comment

0 Comments