Kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM)
akan berubah 3 April 2019 (esok) apabila
Ketua Polis Negara (KPN) Malaysia akan bersara wajib pada 4 Mei 2019.
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dilantik sebagai
Ketua Polis Negara (KPN) pada 4 Sept 2017 dijadual bersara pada Jumaat ini. Tan
Sri Mohamad Fuzi Harun yang merupakan KPN ke-11.
Beliau yang dilahirkan pada 4 Mei 1959 di Parit,
Perak mula memasuki perkhidmatan PDRM sebagai Kadet ASP pada 8 Jan 1984.
Antara jawatan penting yang pernah disandangnya
ialah Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada 1998 hingga
2005; Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman pada 2007 hingga 2009;
Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman pada 2009 hingga
2014; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman pada 2015 hingga 2017.
Jika mengikut hierarki, jawatan itu bakal diisi
oleh orang nombor dua dalam PDRM sekarang iaitu Datuk Seri Abdul Hamid Bador
yang kini adalah Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara yang memangku jawatan itu
sejak 15 Mac 2018 lepas apabila Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid
Ibrahim bersara wajib pada tarikh yang sama.
Semalam Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir
Mohamad mengesahkan Datuk Seri Abdul Hamid dicadangkan sebagai Ketua Polis
Negara ke-12 yang baharu.
Menurut sumber Bukit Aman, majlis serah terima
tugas jawatan Ketua Polis Negara akan diadakan esok di Pusat Latihan Polis
Kuala Lumpur (Pulapol) manakala pada sebelah petang pula akan diadakan upacara
paluan berundur pegawai tertinggi PDRM.
Jika semua berjalan seperti dijadual, mata akan
bertumpu kepada individu yang bakal mengisi jawatan nombor dua PDRM yang kosong
sekiranya Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara.
Antara nama-nama yang disebut sebagai Timbalan
Ketua Polis Negara ialah Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Jika Datuk Seri Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua
Polis Negara, ia seolah-olah memenuhi tradisi kepimpinan tertinggi PDRM yang
menyaksikan kebanyakan jawatan itu diisi oleh pegawai tertinggi daripada
Cawangan Khas.
Ia dapat dilihat daripada bekas KPN ketiga iaitu
Tan Sri Abdul Rahman Hashim, bekas KPN keempat Tun Mohammed Hanif Omar, bekas
KPN kelima Tan Sri Abdul Rahim Noor serta bekas KPN keenam Tan Sri Norian Mai.
Kecuali bekas KPN pertama Tan Sri Sir Claude
Fenner, bekas KPN kedua Tun Mohamed Salleh Ismael, bekas KPN ketujuh Tan Sri
Mohd Bakri Omar dan bekas KPN kesembilan Tan Sri Ismail Omar yang bukan
daripada kepimpinan Cawangan Khas.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
dalam satu kenyataan berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana
Menteri Dr Mahathir Mohamad memperkenankan pelantikan itu.
Kontrak Datuk Seri Hamid Bador yang berumumr 60
tahun adalah mulai esok dan tamat pada 3 Mei, 2021.
Latarbelakang
Datuk Seri Hamid Bador
Datuk Seri Hamid Bador, yang dilahirkan pada 7 Ogos
1958, di Kuala Lumpur, adalah anak kepada seorang konstabel polis, Allahyarham
Bador Ijoh, yang membesar dalam suasana kerap berpindah-randah.
Beliau bersama sembilan adik-beradik dan ibunya
yang juga seorang suri rumah berketurunan Cina, mendiami berek-berek polis di
Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur; Balai Polis Serendah (Rawang); Balai Polis
Jerantut (Pahang); Balai Polis Tampin (Negeri Sembilan).
Disebabkan tugas bapanya itu, Abdul Hamid terpaksa
berpindah sekolah bermula dari Sekolah Rendah Inggeris (Sekolah Rendah Sinaran
Budi) di Rawang, Selangor, pada 1965 sebelum menyambung darjah dua di Sekolah
Rendah Inggeris, Jerantut Pahang, dari 1966 hingga 1970; Sekolah Menengah
Sulaiman, Bentong, Pahang (1971-1976); Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin,
Negeri Sembilan pada 1977.
Selepas menamatkan persekolahan, Abdul Hamid
kemudian bekerja sebagai pelayan dan penyambut tetamu di sebuah hotel di Kuala
Lumpur, dari 1977 sehingga 1979.
Beliau mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) sebagai Inspektor Pelatih, pada 4 November 1979 sebelum ditempatkan di
Cawangan Khas Bukit Aman, bermula 1980 hinggalah 1996.
Pada 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua
Polis Daerah Gombak, sebelum kembali ke Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2001,
seterusnya dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas, Polis Kontinjen Kelantan pada
2005.
Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua
Jabatan Cawangan Khas, Polis Kontinjen Sabah sebelum dinaikkan pangkat sebagai
Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, pada 2009.
Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perdana
Menteri pada 18 Ogos 2015 sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas,
tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.
Hamid Bador mula mendapat perhatian pada 2015
apabila mendedahkan ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam
siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain mendesak siasatan
secara telus semasa menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit
Aman.
Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM,
pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi
daripada kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa Indonesia
melumpuhkan kegiatan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas DAESH.
Sumber: Bernama, Berita Harian dan Malaysiakini
0 Comments