Tenaga
Nasional Bhd (TNB) terbukti telah mengorak langkah jauh sejurus penubuhannya
pada 1949 sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB) untuk menjadi pemangkin
pembangunan negara.
TNB yang meraikan
ulang tahun ke-70 pada September tahun ini, juga telah mengharungi beberapa
transformasi utama, termasuk penjenamaan semulanya sebagai Lembaga Letrik
Negara (LLN) pada 1965, disusuli penswastaan pada 1990 dan diperbadankan pada
1992.
Menyingkap
transformasi TNB, Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie, berkata gergasi utiliti
nasional itu telah mencatat pertumbuhan dan pengukuhan sepanjang tahun
terutamanya dalam tempoh peningkatan permintaan yang ketara bagi bekalan tenaga
sejak 1980-an.
“TNB telah
berkembang dengan matang sejak 70 tahun lepas serta mencatat sumbangan besar
kepada pembangunan negara selain memastikannya kekal relevan dalam setiap
peringkat pembangunan teknologi dan pertumbuhan negara,” kata beliau dalam temu
bual dengan Bernama, baru-baru ini.
Beliau
berkata seiring dengan pertumbuhan ekonomi, permintaan tenaga turut berkembang
namun TNB kekal komited dalam menunaikan tanggung jawab sebagai pengedar tenaga
tunggal di negara ini.
“Kami
merekodkan permintaan tertinggi tenaga pada 18,566 megawatt (MW) beberapa hari
lepas berbanding (tempoh) 1978/1979 yang menyaksikan permintaan ketika itu
sekitar 1,260 MW,” katanya.
Menurut
Moggie, walaupun menyaksikan lonjakan permintaan terhadap tenaga, industri itu
masih mempunyai kira-kira 20 peratus margin simpanan bagi menampung sebarang
kemungkinan berlakunya kejadian tenaga terputus.
Beliau
berkata, TNB juga telah mempertingkat kualiti bekalan elektrik di negara ini
yang diukur menerusi Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) yang
juga kaedah digunakan oleh industri tenaga global bagi mengukur masa yang
dialami pengguna setiap kali bekalan terputus dalam tempoh setahun.
“SAIDI TNB
pada masa ini mencatat 48 minit dan kami berbangga dengannya. Kita jauh lebih
baik daripada United Kingdom,” katanya.
Sebagai
perbandingan, SAIDI di England mencatat 55 minit pada tahun lepas, Perancis (60
minit), Ireland (90 minit) dan Australia (125 minit) manakala negara jiran,
Thailand merekodkan SAIDI sebanyak 60 minit.
Moggie
berkata, satu lagi penanda aras lain adalah Minit Sistem Transmisi yang
mengukur minit gangguan akibat transmisi atau penghantaran bagi setiap tahun
yang menyaksikan TNB mencatat kurang seminit bagi 2018, satu rekod yang
setimpal dengan catatan negara maju.
“Ini jelas
memaparkan bahawa rangkaian transmisi kita pada masa ini adalah agak cekap,”
katanya.
Mengulas
persepsi bahawa TNB memonopoli industri tenaga, Moggie berkata persepsi salah
sedemikian adalah disebabkan oleh peranan TNB sebagai pembekal tenaga tunggal
di negara ini.
“Di kebanyakan negara, rangkaian penghantaran utama itu selalunya dimonopoli secara
semula jadi dan lazimnya diuruskan oleh agensi kerajaan yang dikawal selia,”
katanya.
Bagaimanapun,
kata beliau, industri penjanaan tenaga di negara ini terbuka bagi penyertaan
kepada pihak lain yang dikenali sebagai penjana tenaga bebas (IPP) yang
diperkenalkan pada awal 1990-an.
“Kapasiti
penjanaan TNB secara sendiri adalah kira-kira 49 peratus manakala 51 peratus
lain dijana IPP dan seterusnya dijual kepada TNB sebagai pembeli tunggal
menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang,” katanya.
Beliau
berkata, PPA itu merupakan perjanjian jangka panjang berdasarkan dua komponen -
caj kapasiti dan caj tenaga.
“Caj
kapasiti itu bertujuan menampung modal pelaburan bagi pembinaan stesen jana
kuasa manakala caj tenaga itu berdasarkan kepada harga bahan api (gas atau
arang batu) yang digunakan bagi menjana tenaga,
Caj kapasiti
adalah untuk membolehkan pemulihan pelaburan modal untuk membina loji
janakuasa, manakala caj tenaga adalah berdasarkan harga bahan bakar (gas atau
arang batu) yang digunakan untuk menjana kuasa, bergantung kepada pergerakan
harga bahan api di peringkat antarabangsa,” katanya.
Moggie turut
menyifatkan penyertaan IPP dalam industri itu ternyata membantu mengembangkan
industri selain menjadikannya lebih berdaya saing.
Menurutnya,
negara lain telah memperkenalkan sistem lebih terbuka dikenali pasaran pedagang
yang tidak membabitkan sebarang kontrak dan syarikat yang berminat boleh
membina loji jana kuasa dan menjualnya kepada utiliti yang seterusnya membekal
dan menjualnya kepada pengguna.
“Risikonya
adalah dari segi kemungkinan pelabur baharu tidak bersedia meletakkan pelaburan
bagi kapasiti penjanaan baharu tanpa sebarang jaminan pasaran dan akan kembali
memanfaatkan PPA,” katanya.
Berikutan
itu, PPA memberi pelabur yang berpotensi dari segi keyakinan membina kapasiti
baharu berikutan wujudnya jaminan pulangan pelaburan.
Selain itu,
beliau turut mempertikaikan mengenai idea untuk meliberalisasikan bekalan
tenaga sepenuhnya dan menyifatkan langkah itu berkemungkinan tidak membawa
kepada pengurangan segera harga tenaga sepertimana yang terbukti berlaku di
United Kingdom (UK) dan negara Eropah yang lain.
“Apabila UK
dan negara-negara Eropah lain memulakan liberalisasi bekalan tenaga, ia
menyebabkan bil pengguna meningkat sedikit.
“Oleh itu,
liberalisasi sepenuhnya itu berkemungkinan tidak membawa kepada penurunan harga
sebaliknya ada kemungkinan ia akan meningkat,” katanya.
Beliau
berkata, isu lain akibat kesan langkah liberalisasi sepenuhnya bekalan tenaga
itu adalah dari segi pengurusan subsidi silang yang diberi kepada industri.
Ini kerana
subsidi tersebut boleh disalahguna bagi memberi manfaat kepada segelintir
penduduk jika tidak diuruskan dengan kaedah yang betul, katanya.
Menyentuh
kemajuan TNB pada masa depan, Moggie berkata TNB sentiasa bersedia terhadap
sebarang jangkaan perubahan teknologi dan pasaran.
“Di TNB,
kami sudah membuat persediaan itu sejak dua tahun lepas bagi memastikan struktur
yang ada dapat dimanfaatkan apabila perubahan itu berlaku. Kami menggelar
program ini sebagai ‘Reimagining TNB,” katanya.
Menurutnya,
syarikat itu juga telah memperkenalkan meter pintar yang dapat dibaca secara
jarak jauh dan membolehkan pengguna menguruskan penggunaan tenaga.
TNB turut
menggunakan rangkaian grid pintar bagi memudahkan peningkatan suntikan tenaga
boleh diperbaharui ke dalam jaringan tersebut.
Selain
daripada itu, kata Moggie, TNB juga telah mewujudkan bahagian runcit bagi
menguruskan jangkaan pelanggan.
“Mereka
(bahagian runcit) perlu peka dan maklum dengan jangkaan pengguna yang
sememangnya tinggi.
“Atas alasan
itu, kami berpendapat di peringkat TNB telah bersedia seperti sepatutnya dan
pengalaman kami terhadap jangkaan pasaran pengguna selama ini akan memberi
keyakinan itu,” katanya.
Beliau turut
juga menjangkakan permintaan tenaga akan berkembang pada kadar lebih perlahan
pada tahun-tahun akan datang seiring dengan kematangan ekonomi negara dengan
tumpuan lebih kepada sektor perkhidmatan berbanding sektor pembuatan.
“Kami
mengunjurkan permintaan akan terus meningkat namun kadar kenaikannya tidaklah
sepantas seperti sebelumnya. Jika sebelum ini pada empat hingga lima peratus
namun sekarang ia kurang daripada dua peratus,” katanya.
Menurut
Moggie, faktor lain yang menyumbang kepada pertumbuhan permintaan yang lebih
perlahan itu adalah langkah pengguna yang lebih menggunakan sistem pintar yang
menumpukan aspek cekap tenaga.
Setakat ini,
talian penghantaran TNB meliputi sejauh lebih 6,300 kilometer manakala jumlah
pelanggannya pula mencecah 9.6 juta termasuk di Sabah yang mana TNB memiliki 83
peratus dalam Sabah Electricity Sdn Bhd.
Sumber:
Bernama
0 Comments