MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Malaysia Mengutuk Serangan di Sri Lanka



Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi negara Malaysia, hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pelaku serangan keganasan di beberapa lokasi di Sri Lanka, semalam (21 April 2019).

Seri Paduka turut menzahirkan perasaan dukacita yang amat mendalam atas kehilangan nyawa dan kecederaan yang berlaku.

“Seri Paduka juga mengucapkan takziah dan simpati yang tidak terhingga kepada mangsa-mangsa jenayah tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun itu, yang disasarkan kepada orang tidak berdosa semasa sambutan perayaan Easter, iaitu ketika penganut Kristian sedang berkumpul untuk berdoa dan merayakan sambutan itu.

“Seri Paduka turut menyatakan sokongan dan solidariti Malaysia dengan mangsa-mangsa, keluarga mereka dan rakyat Sri Lanka,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong juga amat yakin rakyat Sri Lanka akan terus bersabar mempertahankan kekuatan dan kemanusiaan mereka dalam menghadapi tragedi yang amat mengerikan itu.

Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang manakala beratus-ratus lagi cedera.

Pengeboman itu menyasarkan lapan lokasi termasuk gereja di mana para penganut Kristian sedang meraikan Hari Easter dan beberapa hotel lima bintang di ibu kota komersial Colombo.

Tragedi tersebut mendapat reaksi beberapa pemimpin dunia diantaranya:-

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan itu "sekeras-kerasnya" dalam satu kenyataan bertulis.

"Ini adalah satu serangan ke atas semua umat manusia. Bagi pihak rakyat Turki, saya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mangsa dan rakyat Sri Lanka, serta mendoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh," kata Erdogan.

Imran Khan, Perdana Menteri Pakistan, dalam akaun Twitter berkata "(Saya) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang dahsyat di Sri Lanka pada Hari Easter yang menyebabkan kehilangan nyawa yang berharga serta beratus-ratus lagi cedera. Ucapan setinggi-tinggi takziah saya kepada saudara kita di Sri Lanka. Pakistan berdiri dalam solidariti bersama-sama Sri Lanka ketika ia berdepan masa-masa yang sukar ketika ini."

Perdana Menteri India Narendra Modi turut mengecam letupan maut itu dengan berkata "Tiada tempat untuk keganasan sedemikian di rantau ini. India berdiri dalam solidariti bersama-sama rakyat Sri Lanka. Doa dan ingatan saya bersama-sama keluarga yang kehilangan, begitu juga dengan mereka yang cedera."

Presiden Afghanistan Ashraf Ghani turut mengutuk serangan itu dan berkata “Menyerang gereja dan hotel serta menyasarkan penganut agama adalah suatu perbuatan yang menjijikkan dan Afghanistan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas yang keji ini. Ingatan dan doa kami untuk mangsa dan keluarga mereka, dan kami berdiri dalam solidariti bersama-sama Sri Lanka pada waktu yang sukar ini.”

Dalam satu kenyataan Twitter, jurucakap Canselor Jerman Angela Merkel, Steffen Seibert, berkata mereka "terkejut dengan berita bahawa penganut Kristian di Sri Lanka diserang dan dibunuh ketika upacara Easter."

Perdana Menteri Britain Theresa May pula berkata serangan di Sri Lanka adalah "benar-benar keji".
Ucapan simpati paling mendalam kepada mereka yang terjejas dalam insiden yang tragik ini," katanya.

Presiden Rusia Vladimir Putin, dalam satu kenyataan mengucapkan "setinggi-tinggi takziah berkaitan kesan tragik beberapa siri serangan pengganas" di Sri Lanka, menurut agensi berita rasmi Tass.

Menegaskan bahawa Moscow kekal sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai Sri Lanka dalam memerangi keganasan antarabangsa, beliau berkata "saya menjangkakan pelaku dan dalang jenayah sinikal dan kejam ini. yang melakukannya semasa upacara sambutan Easter, akan mendapat balasan yang setimpal."

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dalam akaun Twitter, menulis "AS mengucapkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada penduduk Sri Lanka yang hebat. Kami sedia menghulurkan bantuan."

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata "PBB berdiri dalam solidariti bersama-sama Sri Lanka ketika komuniti global memerangi kebencian dan keganasan ekstremisme bersama-sama."

Gurerres menegaskan bahawa tapak suci perlu dihormati.

Presiden Serbia  Aleksandar Vucic dan Perdana Menteri Croatia Andrej Plenkovic mengutuk serangan ganas itu dan melahirkan solidariti mereka bersama-sama Sri Lanka.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan mengutuk serangan itu dan berharap pihak yang bertanggungjawab melakukan “jenayah kejam itu” akan diheret ke muka pengadilan.

Kementerian Luar Indonesia turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kerajaan Indonesia percaya kerajaan Sri Lanka boleh menangani situasi itu dengan baik, dan juga bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan," menurut kementerian itu.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengutuk serangan "ke atas mereka yang tidak bersalah" manakala Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata "melihat serangan di Sri Lanka ketika orang ramai berada di gereja dan hotel adalah sesuatu yang meluluhkan hati.”

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengutuk "tindakan menjelekkan itu" di Sri Lanka.
"Kami berdiri bersama-sama rakyat Sri Lanka dan doa serta ingatan kami untuk orang tersayang mangsa yang terkorban pada Hari Easter itu," katanya.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah Federica Mogherini, Presiden Austria Alexander Van der Bellen, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Presiden Montenegrin Milo Djukanovic turut mengutuk serangan itu.

Sumber: Bernama



Post a Comment

0 Comments