MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Lawatan Rasmi Tun Dr Mahathir ke China April 2019



Perdana Menteri (PM) Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengadakan pertemuan dua hala secara berasingan dengan tiga kepemimpinan tertinggi China ketika menghadiri forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF), di Beijing, pada 24 April 2019.

Tun Dr Mahathir berada di negara China bagi menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) atas jemputan kerajaan negara China.

Usaha meningkatkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan kuasa ekonomi dunia, China akan terus diperhebatkan semasa lawatan kerja lima hari Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara China  bermula 24 April 2019 sehingga 28 April 2019.
Tun Dr Mahathir juga mendapat layanan khas/istimewa dari negara China dalam membuka lembaran baik mengenai hubungan dua hala Malaysia-China.

Malaysia dan China baru - baru ini telah mencapai kesepakatan dalam isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), rel dengan jajaran sepanjang 648 kilometer (km) dengan memperlihatkan pengurangan kos dan penjimatan sebanyak RM21.5 bilion di pihak Malaysia dan perlaksanaan pembinaan projek ECRL diteruskan pada pihak China, mencipta situasi menang-menang kedua buah negara.

Berteraskan situasi di atas sekali gus mencetuskan arus perubahan positif hubungan kedua-dua negara, selain maklum balas dalam kalangan orang ramai menunjukkan suasana sektor perniagaan, khususnya membabitkan pelabur China, kini nampak lebih baik.
Ketiga - tiga pemimpin republik berkenaan yang dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ialah:-
  1. Presiden China, Xi Jinping; 
  2. Perdana Menteri China, Li Keqiang dan 
  3. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Li Zhanshu.
Semasa lawatan 5 hari Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyaksikan beberapa majlis pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman antara kedua-dua negara.
Menurut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di China, Nuryante Mohd Yazid, Perdana Menteri dan rakan sejawatnya Li Keqiang akan menyaksikan dua perjanjian persefahaman selepas kedua-dua pemimpin itu bertemu petang esok (25 April 2019).

Perjanjian tersebut adalah : -
  1. Perjanjian persefahaman itu membabitkan usaha meningkatkan perdagangan dan kerjasama minyak sawit antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Dewan Perniagaan China bagi Import Eksport Makanan, Produk Asli dan Produk Sampingan Haiwan.
  2. Perjanjian bertujuan meningkatkan kerjasama dalam pembangunan kawasan perindustrian, infrastruktur, industri hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Memorandum persefahaman (MoU) itu membabitkan China Communication Construction Company (CCCC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Nuryante Mohd Yazid berkata Tun Dr Mahathir  Mohamad turut diberi penghormatan oleh China untuk berucap pada sesi forum BRF tersebut yang bakal dihadiri oleh kira-kira 36 pemimpin serata dunia dan serta wakil dari 140 negara.
Beliau berkata, selepas mengadakan pertemuan dengan Keqiang, Perdana Menteri akan turut bertemu dengan Presiden China Xi Jinping.
"Dalam pertemuan ini kedua-dua pemimpin dijangka berkongsi pandangan mengenai hala tuju hubungan Malaysia-China termasuk aspek strategi dan kerjasama di masa depan," katanya.
Pada malam esoknya, Dr Mahathir dan Dr. Siti Hasmah akan diraikan pada majlis makan malam oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Li Zhanshu.
Selain jadual padat bertemu dengan pemimpin tertinggi China serta menghadiri forum itu, Perdana Menteri juga akan meninjau lebih dekat kemampuan serta kecanggihan teknologi syarikat-syarikat China.
Beliau juga dijadual mengunjungi syarikat telekomunikasi terkenal China, Huawei serta Sensetime yang merupakan penyedia teknologi Kecerdikan Buatan (AI).
Sehubungan itu, kata Nuryante, lawatan Perdana Menteri ke China akan memberi peluang kepada syarikat kedua-dua negara menjalin kerjasama dalam bidang teknologi tinggi.
Dr Mahathir juga akan menyampaikan ucapan serta berdialog dengan para pemimpin perniagaan China dalam majlis anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta institusi perbankan terkenal dunia, HSBC.
Negara China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 10 tahun yang lepas dan jumlah dagangan kedua-dua negara itu meningkat 8.1 peratus kepada RM313.8 billion pada tahun 2018.
Lawatan rasmi ke negara China turut disertai oleh isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan tujuh orang menteri kabinet, ketua menteri dan menteri besar termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan rombongan dijangka balik ke Malaysia pada 28 April 2019.

Sumber : Bernama dan Penulis sendiri 














Post a Comment

0 Comments