MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Sunnah Hari Jumaat


Hari Jumaat adalah penghulu segala hari Rasululullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah, iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Aidil-Adha dan Hari Raya Aidil-Fitri. Pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian, iaitu hari yang dijadikan Adam dan beliau diturunkan dari Syurga ke muka bumi dan pada hari itu juga wafatnya Adam, Allah s.w.t mengurniakan satu saat doa-doa dikabulkan kecuali doa- doa maksiat dan pada hari Jumaat juga terjadi hari Kiamat”. 

(Hadis Riwayat: Ibnu Majah)

Berikut dikongsikan perkara-perkara Sunnah pada hari Jumaat:-

1. Memperbanyakkan Selawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w

Daripada Abu Aus bin Aus ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti).

(Hadis Riwayat : Abu Daud)

Fadhilat/kelebihan

“Perbanyakkan selawat ke atasku pada hari Jumaat dan pada malam Jumaat. Sesiapa yang melakukannya aku menjadi saksi dan pemberi syafaat kepadanya pada hari Kiamat kelak.” 

(Hadis Riwayat: Al-Hakim)

Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w kepada yang berselawat, Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w secara langsung, Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat serta banyak lagi.

2. Membaca Surah Al-Kahfi

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Khafi pada hari jumaat maka akan memancar cahaya dari bawa kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada hari kiamat, dan diampuni dosanya antara dua Jumaat”.

(Hadis Riwayat; Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Fadhilat/kelebihan

Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib r.a katanya, “Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan disisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi s.a.w lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya”, Baginda pun bersabda, “Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah Al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat Al-Qur’an”.

 (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3.Bersugi (Bersiwak)

Dari Aisyah r.a.h. "Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya". 

(Riwayat Baihaqi)

Fadhilat/kelebihan

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang dengan tidak bersugi".

(Riwayat Muslim)

4. Perbanyakkan Doa dan Zikir

Terdapat satu waktu yang dikabulkan doa di dalam hari Jumaat. Sesiapa yang berdoa di dalam waktu tersebut Allah swt akan mengabulkan doanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu masa apabila seorang hamba Muslim berdoa kepada Allah s.w.t akan kebaikan bertepatan dengan masa itu Allah s.w.t akan memperkenankan apa yang diminta.” 

(Hadis Riwayat : Ahmad)

Fadhilat/kelebihan

Seseorang yang banyak berdoa dan berzikir hidup disisi Allah s.w.t (apa yang dihajatinya/dipohonya mudah dimakbulkan oleh Allah s.w.t), menenangkan hati, mengwujudkan kegahirahan beribadah dan sentiasa mengingati Allah s.w.t.

5. Bersegera berangkat/pergi ke Masjid

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi hadas besar), kemudian pergi ke masjid pada saat yang pertama (ganjarannya) seolah-olah mengorbankan seekor unta. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang kedua seolah-olah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang ketiga seolah-olah mengorbankan seekor kambing yang bertanduk. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang keempat seolah-olah mengorbankan seekor ayam. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang kelima seolah-olah mengorbankan sebiji telur. Apabila imam keluar (naik ke mimbar) para malaikat hadir mendengarkan nasihat dan peringatan.” 

(Hadis Riwayat: Al-Bukhari)

Fadhilat/kelebihan

Hadis diatas juga menerangkan ganjaran pahala orang yang datang awal ke masjid tidak sama dengan orang yang datang kemudian, pahalanya berbeza-beza, orang yang paling awal mendapat ganjaran yang besar berbanding denga orang yang datang lambat.

Beberapa lagi Sunnah Rasulullah s.a.w di hari Jumaat diantaranya Memakai Pakain Terbaik, Memotong Kuku, Menggunting Kumis,Menggunting bulu hari-hari (ketiak), Menggunakan Minyak Wangi, Mandi Sebelum Jumaat.

Setiap Sunnah mempunyai fadhilatnya tersendiri dan menhasilkan kejayaan kepada pengamalnya, banyak lagi Sunnah Rasulullah s.a.w yang boleh dibuat pada hari biasa diantranya membuang halangan di jalan raya seperti duri, batu dan seumpamanya, memberi makan kepada seseorang yang memerlukannya, mendoakan seseorang dengan kebaikan dan orang itu tidak mengetahuinya, dan banyak lagi. Sekiranya seseorang itu secara berterusan dalam melaksanakan Sunnah Rasulullah s.a.w sudah pasti mendapat ganjaran dan pahala dari Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Sumber : JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri, Karangkraf dan Penulis sendiri

Post a Comment

0 Comments