MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Islam Agama Kedamaian dan Rahmat



Islam dari segi bahasa membawa maksud taat dan patuh, aman dan damai serta terlepas atau jauh daripada kekurangan kekurangan zahir dan batin. Manakala dari segi istilah syarak, Islam ialah tunduk, taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. dan utusan Allah s.w.t ia itu Nabi Muhammad s.a.w. (ajaran islam yang dibawa dan di sampaikan olehnya)

Islam  adalah agama kedamaian yang cintakan keamanan kerana  perintah  Allah  yang  banyak  di dalam  al-Quran  menganjurkan  kedamaian, larangan menumpahkan  darah tanpa  hak,  tidak  memaksa  orang  bukan  Muslim  memeluk  Islam  setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah   dalam   berdakwah. 
 
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anfal ayat 61:



Bermaksud : “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka  engkau  juga  hendaklah  cenderung  kepadanya  serta  bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sesungguhnya Islam agama yang mencintai kedamaian. Islam  melarang  umatnya  melakukan  kerosakan,  kejahatan,  kemungkaran, kekerasan,  kezaliman  dan  sebagainya.  Islam  menolak  apa  jua  gerakan pelampau  yang  menggunakan  kekerasan,  pembunuhan  dan  peperangan sehingga  menggugat  keamanan  Negara  mahupun  dunia.

Maksud firman Allah di dalam al-Quran:

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan  cara  yang  lebih  baik;  apabila  engkau  berlaku  demikianmaka  orang yang  menaruh  rasa  permusuhan  terhadapmu,  dengan  serta  merta  akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Sabda  Rasulullah  s.a.w  sebagaimana riwayat  Imam  Al-Bukhari  daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ass r.a.huma:

Bermaksud:“Seorang  Muslim  ialah  orang  yang  menyelamatkan  kaum muslimin dari kejahatan lisan dan tangannya.”

Islam   sebagai   agama   yang   membawa   rahmat   ke   seluruh   alam  (‘Rahmatan Lil Alamin’ ) amat mementingkan  keadilan  ditegakkan  dan  mengembalikan  hak-hak  golongan yang dizalimi serta teraniaya. Justeru, Islam bersikap tegas dan menganggap perlakuan yang mencetuskan perbalahan  dan  persengketaan  adalah  suatu kesalahan yang besar kerana ia menyanggahi maqasid al-Syariah. 

Konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui ayat 107, Surah al-Anbiya’ yang bermaksud:

“Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.

Ayat ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk membawa mesej rahmat meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya.

Rahmat seperti dibincangkan ulama, bermaksud kasih sayang. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.

Amalan sunah nabi dalam konteks meratakan konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ ini dapat dilihat dalam beberapa konteks.

Rahmat kepada orang tua. Contoh kepada rahmat ini ialah pada satu ketika Nabi melihat seorang wanita tua sedang memikul kayu api di tengah cuaca panas.

Setelah keletihan wanita itu berhenti sebentar, Nabi Muhammad s.a.w lalu menghampirinya dan menawarkan bantuan memikul kayu api itu sehingga ke rumah wanita terbabit. Wanita berkenaan gembira dengan sifat rahmat Nabi Muhammad s.a.w.

Bagi  menjaga  keharmonian,  perpaduan  dan  kestabilan  negara,  perkara-perkara  yang  perlu  difahami  oleh  setiap  masyarakat  ialah  konsep  taaruf iaitu saling  berkenalan  antara  kaum  dan  etnik  di  negara  ini,  tafahum iaitu  saling memahami  dan  ta’awun iaitu  saling  membantu  sebagai  tanda  kasih  sayang. 

Kita seharusnya berhati-hati dalam meneliti sebarang propaganda, prasangka atau  berita  yang  diterima  tentang  sesuatu  kaum,  agama  dan  sebagainya. Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perselisihan serta perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah bahawa seorang Muslim itu ialah mereka yang menjaga tutur kata, lidah dan tangannya.

Dapat disimpulkan bahawa Islam  sebagai  agama  perdamaian, kasih  sayang dan  membawa   rahmat   ke   seluruh   alam  sentiasa meraikan keharmonian dalam kepelbagaian kaum, bangsa dan agama, walaupun manusia dengan  perbezaan  agama,  keturunan,  bahasa  dan  budaya, Islam menuntut penganutnya  untuk   saling   kenal   mengenali,   faham   memahami   dan   hormat-menghormati. Perpaduan  yang  wujud  dalam  kalangan  pelbagai  kaum,  bangsa  dan agama  dapat mewujudkan keharmonian dan kestabilan negara serta dunia.
Firman Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 118 -119.



Bermaksud: “Dan  kalaulah  Tuhanmu  (wahai  Muhammad)  menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi  Dia  tidak  berbuat  demikian)  dan  kerana  itulah  mereka  terus-menerus berselisihan.  Tetapi  orang-orang  yang  telah  diberi  rahmat  oleh  Tuhanmu, (mereka  bersatu  di  dalam  agama  Allah);  dan  untuk  tujuan  (perselisihan  dan rahmat)   itulah   Allah   menjadikan   manusia.   Dan   dengan   yang   demikian sempurnalah  janji  Tuhanmu:  "Sesungguhnya  Aku  akan  memenuhi  neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".


Sumber: JAKIM, Berita Harian dan Penulis sendiri

Post a Comment

0 Comments