MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

FDI Malaysia

Malaysia sedang menikmati perkembangan ekonomi yang memberangsangkan dan ini dapat dibuktikan dengan peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan untuk semua sektor.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, FDI yang diluluskan naik setinggi 48 peratus kepada RM80.5 bilion bagi tahun 2018.

Jelas beliau, angka itu merupakan penunjuk pelopor penting bagi membantu orang ramai memahami kecenderungan keadaan ekonomi negara di samping kepimpinan yang jelas dan bersih membantu dalam peningkatan tersebut.

Pertumbuhan FDI yang diluluskan ini ditambah dengan kenaikan 3.2 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) untuk bulan Januari 2019.

Ini membuktikan bahawa keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia telah meningkat dan peralihan kuasa selepas Pilihan Raya ke -14 (PRU14) juga berjalan dengan lancar dan aman, pujian juga harus diberikan kepada kepimpinan pembangkang terdahulu.

Perkembangan ini adalah selaras dengan angka-angka positif yang dicatatkan oleh Malaysia dan kecenderungan positif ini dijangka akan berterusan walaupun negara berhadapan dengan cabaran luaran seperti krisis minyak kelapa sawit dan krisis penjualan air dengan Singapura.

Untuk separuh tahun pertama 2018, FDI yang diluluskan bagi semua sektor adalah hanya RM26.5 bilion, nilai ini meningkat kepada RM54 bilion pada separuh tahun kedua.

Peningkatan ini memperlihatkan peranan penting yang dimainkan Malaysia sebagai sebuah hub pembuatan bagi rantau ini dan juga ruang selamat (safe haven) untuk rantaian bekalan antarabangsa ketika perang dagang antara Amerika Syarikat dan China berlanjutan.

Jumlah FDI pembuatan yang diluluskan dari China telah meningkat kepada RM19.7 bilion pada tahun 2018, iaitu satu peningkatan 410.8 peratus atau RM15.8 bilion daripada RM3.9 bilion pada tahun 2017.

FDI dari Amerika Syarikat naik 184.9 peratus atau sebanyak RM2.1 bilion kepada RM3.2 bilion pada tahun lepas berbanding RM1.1 bilion pada tahun 2018.

Jelaslah bahawa Amerika Syarikat dan China sangat berminat dan sedang  mempertingkatkan pelaburan di Malaysia.

Pelabur-pelabur dari Indonesia telah menyatakan hasrat ingin melabur di Malaysia sebanyak RM9 bilion dalam bidang pembuatan, pada asalnya pelaburan FDI Indonesia yang diluluskan adalah sebanyak RM0.5 juta sahaja tetapi peningkatan yang memberangsangkan ini menjadikan Indonesia sebagai sumber FDI kedua yang terbesar selepas China pada tahun lepas.

Kerajaan Malaysia akan meneruskan agenda pembaharuan bagi menjana ekonomi dan meningkatkan kualiti pertumbuhan dan memastikan supaya hasil pembangunan negara dapat dinikmati bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Sumber: Utusan Online dan Penulis sendiri 

Post a Comment

0 Comments