Pendaftaran
Bantuan Sara Hidup kini dibuka
Bayaran fasa kedua
dan ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dilunaskan kepada penerima
masing-masing pada Mei dan Ogos ini.
Kementerian
Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, untuk menerima bayaran BSH 2019
selanjutnya, pemohon yang layak perlu mendaftar dan mengemas kini maklumat
masing-masing.
"Secara am,
isi rumah yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan layak untuk menerima BSH.
"Pendekatan
BSH adalah selaras dengan keprihatinan kerajaan untuk menyasarkan bantuan hanya
kepada golongan yang layak, iaitu kumpulan yang amat perlukan bantuan bagi
menghadapi kos sara hidup," kata kenyataan itu.
Menurut
Kementerian Kewangan tempoh pendaftaran BSH tahun ini dibuka mulai 1 Feb hingga
15 Mac dan pemohon yang layak dialu-alukan untuk membuat permohonan melalui
kaedah berikut:
• Mengisi borang
permohonan yang boleh didapati secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDN atau pusat
transformasi bandar (UTC)
• Mengisi borang
Pemohon yang dimemuat turun melalui portal rasmi BSH di
https://bsh.hasil.gov.my
• Memohon secara
dalam talian di portal rasmi BSH https://bsh.hasil.gov.my.
Kementerian
Kewangan berkata selain kaedah itu kerajaan juga akan mengambil langkah
proaktif dengan menyediakan kemudahan pendaftaran setempat, terutamanya untuk
membantu penduduk di kawasan pedalaman, terpencil atau yang terlantar.
"Kementerian
Kewangan akan mewujudkan jalinan usahasama dengan agensi kerajaan seperti
Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Unit
Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang pernah menjalankan
kerja pendaftaran sebelum ini," tambahnya lagi.
Proses pendaftaran
dan pengemaskinian maklumat isi rumah dilaksanakan bagi memastikan hanya isi
rumah yang layak menerima BSH.
Katanya langkah
tersebut penting bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta
bersasaran kepada golongan B40, selain mengelakkan ketirisan.
Untuk rekod,
bayaran fasa pertama RM300 yang memanfaatkan 4 juta isi rumah melibatkan
peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.
"Baki bayaran
BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah
baru seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019, termasuk pengenalan kadar
tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan," katanya.
Sebarang
pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian bebas tol 1-800-88-2747 atau
e-mel kepada: bsh@treasury.gov.my.
Dalam pada itu,
Kementerian Kewangan juga menjelaskan kadar inflasi pada 2018 adalah pada tahap
1 peratus berbanding 3.7 peratus pada 2017.
Sumber : Malaysiakini
0 Comments