Ramai rakyat Pakistan menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idola mereka dan memuji kepimpinannya, menurut seorang wartawan dari Pakistan.
Javaid Ur Rehman, koresponden untuk saluran televisyen berita Pakistan's 92 Newsdi Kuala Lumpur berkata adalah tidak mengejutkan apabila Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengundang Dr Mahathir untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara itu bagi menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Pakistan pada 23 Mac sebagai tetamu utama.
Imran Khan, dalam kunjungan rasmi pertamanya ke Malaysia pada November tahun lepas, berkata beliau memandang Dr Mahathir sebagai sumber inspirasi untuk beliau melaksanakan transformasi di negaranya.
Legenda sukan kriket Pakistan itu menjadi Perdana Menteri Pakistan yang ke-22 pada Julai 2018.
Javaid, yang telah tinggal di Malaysia selama hampir 10 tahun, berkata: "Tun Dr Mahathir ialah antara pemimpin yang sangat terkenal di Pakistan dan kami memandang tinggi pencapaian Malaysia sebagai Harimau (Ekonomi) Asia. Kami mengharapkan yang berbaik."
Katanya hubungan erat antara Pakistan dan Malaysia melonjak ke paras lebih tinggi sempena lawatan Imran Khan itu.
"Ia satu lawatan yang telah lama ditungu-tunggu oleh rakyat Pakistan untuk memastikan hubungan baik dan perpaduan antara dua negara Islam itu akan berterusan," katanya kepada Bernama.
Javaid berkata Malaysia sering menjadi fokus utama warganegara Pakistan, sama ada untuk datang bekerja atau melancong, kerana mereka tertarik dengan keindahan alam semula jadinya dan mengagumi keharmonian rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama.
Wartawan itu berkata sepanjang beliau tinggal di negara ini, beliau telah menulis kira-kira 90 ke 100 artikel untuk disiarkan di Pakistan.
Katanya ada banyak perkara yang boleh ditulis mengenai Malaysia kerana negara ini adalah antara hab terpenting di Asia Tenggara dan dalam kalangan negarai-negara Harimau Asia dari segi ekonomi.
Beliau juga berkata Malaysia kerap menganjurkan acara-acara bertaraf antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA), Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA), dan pelbagai acara sukan di peringkat antarabangsa.
"Di samping itu, acara kebudayaan tahunan juga menjadi fokus utama untuk memperagakan bagaimana rakyat Malaysia dapat hidup bersama-sama dalam sebuah masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan ini boleh dijadikan contoh oleh rakyat Pakistan," kata beliau.
Javaid mencadangkan agar program pertukaran pelajar dan kebudayaan diadakan antara kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, berkongsi pengalaman dan saling mempelajari budaya antara satu sama lain.
"Saya mengajak rakyat Malaysia untuk melawat Pakistan supaya mereka dapat menikmati keindahan kebudayaan dan keramahan penduduknya, makanan dan pemandangan alam semula jadinya, selain dapat mempereratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara yang indah ini," kata beliau.
Pakistan adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara.
Pada 2017, jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan adalah sebanyak RM5.76 bilion, iaitu pertambahan sebanyak 3.5 peratus daipada jumlahnya pada 2016. - BERNAMA
0 Comments