THE HAGUE 6 Feb. - Bekas ahli Parlimen Belanda dan
tokoh penting dalam kempen anti-Islam yang dilancarkan oleh ahli politik,
Geert Wilders, mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat selepas mengumumkan
sudah memeluk agama Islam.
Selama bertahun-tahun, Joram van Klaveren
‘memperjuangkan’ kempen menentang Islam yang tidak henti-henti di Dewan
Perwakilan ketika menjadi ahli Parlimen dari Parti Pembebasan Belanda (PVV)
dipimpin Wilders.
Akhbar harian, Algemeen Dagblad melaporkan,
sepanjang kempen itu, beliau mendesak kerajaan supaya mengharamkan pemakaian
burka dan pembinaan menara masjid serta berkata: “Kami tidak memerlukan Islam,
walaupun sedikit di Belanda.”
Bagaimanapun, Klaveren, 40, berkata, beliau menukar
fikirannya ketika sedang dalam proses menulis buku anti-Islam.
“Jika segala yang saya tulis hingga ke tahap itu adalah
benar, dan saya mempercayainya, pada hakikatnya saya adalah orang Islam,”
katanya kepada NRC.
Menurut NRC dalam laporan yang diterbitkan
menjelang pelancaran buku Klaveren bertajuk, Apostate: From Christianity to Islam in the Time of Secular Terror,
beliau memeluk Islam pada 26 Oktober lalu.
“Saya terlihat kitab Injil diletakkan pada rak, di
atas meja pula tersusun buku-buku yang menceritakan tentang Nabi Muhammad SAW.
Tahun-tahun sebelum ini saya memendam kebencian terhadap Islam.
“Apabila anda menyedari bahawa tindakan anda selama
ini adalah salah, ini bukan sesuatu yang menyeronokkan. Dalam mencari Allah,
saya berdepan rasa tidak senang. Akhirnya, perasaan itu hilang sendirinya,”
katanya.
Bekas ahli politik yang membesar dalam persekitaran
Kristian Protestan itu menyifatkan tindakan memeluk Islam sebagai satu
pencarian untuk sekian lama.
Namun katanya, dia tidak merancang untuk memaksa
isteri dan dua anaknya membuat keputusan yang sama.
Beliau kemudiannya melahirkan rasa kesal kerana
menjadi penyumbang kepada salah faham dan gambaran yang salah terhadap Islam.
Tambahnya, segala analisis yang dilakukannya iaitu
kebanyakan masalah di Belanda dan dunia adalahdisebabkan oleh Islam adalah
tidak benar. – AFP/AGENSI
Segala puji bagi Allah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya
Islam itu Agama Kedamaian
Sumber : Utusan
0 Comments