Q&A berkenaan Korban
Q : apakah hukum membuat korban?
A : hukumnya sunat muakkad bagi mereka yang merdeka & mukallaf. Menurut hadith Nabi salallahu alaihi wasallam, haiwan korban kita di dunia akan menjadi kenderaan di titian sirat pada hari kiamat.
Q : bolehlah ia jatuh menjadi wajib?
A : ya, jika seseorang itu bernazar atau takyinkan (menetapkan) haiwan ternakan atau yang dibelinya itu untuk korban wajib.
Q : apakah jenis haiwan korban?
A : iaitu haiwan ternakan yang berkaki empat, yang mencapai minimum umur. Unta, lembu, kibas, biri-biri dan kambing.
Q : berapakah umur haiwan yang jadi syarat haiwan korban?
A : unta berusia 5 tahun masuk tahun keenam, lembu/kerbau berusia 2 tahun masuk tahun ketiga, kambing berusia 2 tahun masuk tahun ketiga dan biri-biri berusia 1 tahun masuk tahun kedua.
Q : bagaimana bahagian-bahagian yg ada pada haiwan-haiwan korban tersebut?
A : untuk unta, kerbau, dan lembu, ada 7 bahagian. Manakala untuk kambing, biri-biri dan kibas, setiap seekor satu bahagian.
Q : bolehkah satu bahagian korban dibuat oleh satu keluarga?
A : tidak memadai kerana satu bahagian hanya untuk seorang.
Q : adakah sah korban ke atas haiwan korban yang bunting?
A : ya, sudah memadai. Yang tak sah ialah haiwan yg ada aib/cacat cela seperti sangat tempang, sangat kurus sehingga hilang sum-sum, buta kedua mata atau sebelah sahaja, sakit yang boleh mendatangkan kurus, tak sempurna keadaan lidahnya, dan putus telinganya. Tetapi jika telinga ditindik atau terbelah, masih sah dibuat jadi korban.
Q : bolehkah membuat korban atas nama masjid, ngo atau jabatan?
A : tidak, kerana korban adalah atas nama individu untuk satu bahagian, bukan atas satu perwakilan.
Q : adakah boleh buat korban ke atas orang yang sudah meninggal?
A : tidak kecuali si mati itu ada membuat wasiat. Bahkan kepada orang yang hidup pun tak sah korbannya jika tiada izin dari dia.
Q : bolehkah membuat korban di luar negara?
A : boleh dan sah, jika ia diwakilkan. Tetapi daging tersebut jangan diagihkan hingga keluar dari negeri tempat berkorban. Hanya diagih ditempat haiwan itu dikorban. Hendaklah berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil.
Q : bilakah waktu sembelih korban?
A : bermula pada hari raya adha iaitu selepas solat dan khutbah dan berakhir tempoh korban iaitu terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
Q : siapakah yang boleh jadi penyembelih?
A : iaitu muslim baik lelaki mahupun wanita. Sudah tamyiz (mumayyiz) serta berakal dan pandai menyembelih serta tak dipaksa. Makruh dikerjakan oleh kanak-kanak, wanita yang sedang datang haid dan ahli kitab.
Q : apakah dia syarat sah sembelihan?
A : iaitu dengan memutuskan 2 urat pembuluh darah (karotid & jugular), memutus urat mari’ (saluran makanan) dan halqum (saluran pernafasan).
Q : bolehkah orang yang membuat korban untuk mengambil daging korban tersebut?
A : ya boleh tetapi orang yang membuat korban sunat wajib sedekahkan suatu dari daging korban sekalipun sedikit. Manakala korban wajib tidak harus untuk diambil dagingnya oleh orang yang membuat korban.
Q : bolehkah kita memberi upah kepada si penyembelih?
A : tidak boleh diberi upah dari haiwan korban. Tetapi boleh beri sebagai hadiah atau sedekah.
Q : bolehkah kita mengagihkan daging korban dengan memasakannya terlebih dahulu?
A : tak memadai. Hendaklah diagihkan sedekah daging korban dalam keadaan mentah lagi basah atau kering. Tidak memadai sedekah jika yang diberi itu kulit, hati, limpa dan perut besar.
Q : bagi fakir miskin yang dapat daging korban, bolehkah mereka menjual daging tersebut supaya mendapat wang?
A : ya, harus bagi fakir mentasarrufkan daging korban dengan jual dan hadiah dan sedekah. Tetapi bukan kepada orang kafir.
Q : bolehkah menjual kulit haiwan korban?
A : haram atas orang yang membuat korban atau warisnya untuk menjual suatu dari korbannya baik kulit mahupun yang lainnya. Empunya korban mempunyai pilihan antara sedekahkan kulit/tanduk haiwan korban tadi atau meminjamkannya. Yang afdal ialah disedekahkan.
Q : benarkah makruh bagi mereka yang membuat korban untuk menggunting rambut, dan sekalian bulu badannya serta kukunya?
A : ya benar. Makruh memotong atau mencukur rambut, kuku dan sekalian bulu di seluruh tubuh badan bermula dari hari pertama Zulhijjah, sehinggalah dia melakukan korbannya.
Sumber : WhatsApp
0 Comments