Nama-nama seperti
Deasoka, Api-Api dan Jesselton mungkin tidak asing bagi penduduk negeri ini.
Bagaimanapun,
tahukah anda apakah signifikan nama-nama tersebut kepada bandar raya ini dan
penduduknya.
Pasti ramai yang
tidak sedar bahawa nama-nama tersebut merupakan nama asal bagi bandar raya ini.
Malah, kita tidak sedar melainkan setelah mengunjungi Pameran Sejarah Bandar Raya
Kota Kinabalu yang berlangsung di Dewan Masyarakat di Jalan Dewan di sini
baru-baru ini.
Menurut rekod,
sejarah bandar raya Kota Kinabalu telah bermula lebih dari 100 tahun lalu,
bermula dari sebuah perkampungan kecil dipanggil Deasoka, kemudian bertukar
kepada Singgah Mata dan diikuti dengan Api-Api.
Bagaimanapun
sejarah moden bandar raya ini bermula pada abad ke-19 apabila kerajaan British
menerusi Syarikat Perdagangan British Borneo Utara (BNBCC) membuka pusat
pentadbiran baru yang dikenali Jesselton menggantikan pusat pentadbiran lama di
Pulau Gaya.
Jesselton diambil
mengikut nama Naib Pengerusi BNBCC, Sir Charles Jessel. Dalam tempoh singkat,
Jesselton muncul sebagai pusat perdagangan utama di Borneo Utara khususnya
dalam perdagangan getah, rotan, madu dan lilin.
Jesselton kemudian
ditukar nama kepada Kota Kinabalu pada 30 September 1967 dan dalam jangka masa
32 tahun, Kota Kinabalu atau lebih terkenal dengan panggilan KK telah melalui
banyak transformasi sehingga menjadikannya pusat perkembangan ekonomi dan
pentadbiran penting di rantau ini.
Hari ini KK dapat
dibahagikan kepada beberapa komponen utama iaitu KK lama yang terdiri dari
Jalan Pantai dan Jalan Gaya, Segama, Sinsuran, Api-Api Centre, Asia City,
Karamunsing, Kompleks SEDCO dan Bandaran Berjaya.
Apa yang menarik
kesemua wajah yang mewakili perkembangan itu dapat dilihat pada gambar-gambar dalam
pameran tersebut.
Lebih 50 bahan
sejarah dipamerkan bagi menceritakan perkembangan bandar raya ini.
Selain gambar,
turut dipamerkan artifak sejarah seperti topi pengasas bandar Jesselton, Sir
Charles Jessel, wang lama dan dua meriam yang pernah mengawal bandar itu
daripada serangan musuh.
Bagi memeriahkan
lagi suasana, pertandingan pengisahan sejarah bandar raya Kota Kinabalu, teka
siapa tokoh, cabutan bertuah dan pertandingan melukis turut diadakan.
Pengunjung turut
berpeluang melihat perancangan masa depan yang telah diatur oleh pihak berkuasa
bagi memajukan lagi bandar raya ini selari dengan tema Bandaraya Peranginan
Semulajadi
Pameran yang
dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-10 bandar raya Kota Kinabalu itu
akan berakhir 28 Februari ini.
Sementara itu,
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas
Ibrahim berkata, pameran bertajuk Kota Kinabalu - Dulu,
Kini dan Akan Datang bertujuan memberi peluang kepada orang ramai
mengetahui dan mengingat kembali kisah lama bandar raya ini.
Katanya, ini
penting bagi mewujudkan rasa cinta dan bangga kepada bandar raya ini yang
menjadi nadi kehidupan penduduknya.
''Semoga rasa
sayang dan bertanggungjawab itu menjadi lebih tebal apabila melihat dan
mengetahui kisah lalu di sebalik apa yang kita saksikan hari ini,"
katanya.
Sehubungan itu,
katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merancang membina sebuah galeri
tetap bagi menyimpan bahan-bahan sejarah berkaitan perkembangan bandar raya ini
bermula dari penubuhannya sehingga hari ini.
Menurutnya, galeri
tersebut bukan sahaja akan menyimpan bahan sejarah tetapi mampu menjadi tarikan
baru kepada pelancong ke bandar raya ini
''Kita perlukan
satu usaha yang lebih sistematik bagi memastikan bahan bersejarah ini terus
terpelihara dan dapat disaksikan oleh generasi akan datang," katanya.
Beliau menambah,
walaupun DBKK sudah memiliki Galeri Bandaraya tetapi ruang sedia ada agak kecil
dan tidak mampu menampung bahan yang semakin bertambah.
1 Comments
terbaik...
ReplyDelete