PROTON
X70
Proton
Holdings Berhad (Proton) melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV)
pertamanya, X70 yang berharga RM99,800 sebuah bagi Standard 2WD, RM109,800
(Executive 2WD), RM115,800 (Executive AWD) dan RM123,800 (Premium 2WD) tidak
termasuk insurans.
Harga jualan
X70 di Semenanjung Malaysia, Sabah & Sarawak adalah sama.
X70
ditawarkan dalam empat varian iaitu model asas Standard Pacuan Dua Roda (2WD),
Executive 2WD, Executive Pacuan Semua Roda (AWD) dan Premium 2WD.
Proton turut
menawarkan empat pakej tambahan bagi semua varian X70 iaitu lima kali servis
buruh percuma, kadar faedah yang rendah bermula dari 2.34 peratus setahun,
jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan pakej data internet satu gigabait setiap
bulan bagi tempoh lima tahun.
X70
menampilkan lampu utama berkembar diod pemancar cahaya (LED) yang ditiruskan
pada sisi dengan lampu nyalaan siang seperti berbentuk L terbalik. Pada bawah
bampar hadapan terdapat lohong besar yang dihiaskan dengan jeriji lurus warna
perak dan terdapat lampu bulat untuk kabus.
Pada ruang
dalaman pula, unsur-unsur seperti kerusi kulit Nappa, sentuhan aksen aluminium
dan skrin sentuh mencetuskan elemen kemewahan dan teknologi. Garis kontur pada
kerusi seperti separa bucket memberikan keselesaan dan lembut.
Ciri-ciri
tambahan yang menjadikan Proton X70 ini boleh mencabar SUV lain ialah kamera
360 darjah, sistem pemantauan angin tayar (TPMS), kamera pandangan hadapan dan
sistem bantuan pemanduan yang terdiri daripada sistem brek kecemasan automatik
(AEB), amaran keluar laluan (LDW), cruise control adaptif (ACC) serta enam beg
udara SRS sebagai ciri standard untuk semua varian.
Selain itu,
terdapat juga ciri Kawalan Jauh Telefon Pintar dan port USB yang banyak iaitu
dua untuk penumpang hadapan dan pemandu, dua untuk penumpang belakang dan satu
di belakang cermin pandang belakang.
Kesemua
varian X70 menggunakan enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat
silinder 1.8 liter TGDi turbo berkuasa 181 kuasa kuda (hp) dan daya kilas
maksimum 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik.
X70
didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu putih, perak, kelabu, coklat dan
merah.
Sumber :
Utusan Online
0 Comments